Semalam berpagian bersama isteri ke Muqaddimah Sahih Muslim bimbingan De Mohd Khafidz Soroni.
Panaskan enjin sebagai persediaan ke International Sama’ Hadis Muslim 2025 di Masjid Putrajay minggu depan.
Antara faedah yang sempat dikutip semalam:
1) Sahih Muslim asalnya tiada tabwib (penamaan bab-bab). Imam Nawawilah yang meletak dan menamakan bab-bab Sahih Muslim.
2) Dr menyebut Imam Muslim berbeza dengan Imam-Imam penulis Sunan Tarmizi atau Musnad Ahmad. Mereka memulakan kitab hadis mereka dengan Bismillah sahaja. Imam Muslimlah yang memulakan Bismillah dan Hamdalah.
3) Sahih Muslim ditulis oleh Imam Muslim kerana permintaan si fulan yang mahu mempelajar hadis-hadis sahih. Orang awam lebih baik fokus menekuni hadis-hadis sahih yang jumlahnya lebih sedikit, dan tinggalkan perbahasan periwayatan kepada ahli ilmu.
4) Imam Muslim begitu teliti memilih hadis-hadis untuk dimasukkan dalam sahihnya.
Hanya hadis dari perawi yang bersih dari aib, jujur dan paling penting istiqamah dan mutqin sahaja dipilih beliau.
5) Dr juga sempat mensyarahkan beberapa hadis dan athar dalam bab kewajipan meriwayatkan hadis dari perawi thiqah dan peringatan untuk tidak berdusta atas nama Rasulullah.
6) Ustaz Mohd Nawawi Abdul Razak berkongsi di awal daurah bahawa Muqaddimah ini penting kerana di sinilah kita boleh mendengar “suara” Imam Muslim berbicara tentang manhaj penulisan dan pemikirannya.
7) Sewaktu masuk ke cerita penyusupan anasir-anasir dusta di dalam Qadha’ Ali, penganjur sempat menyelitkan pesanan bagaimana Saidina Ali adalah antara sahabat yang sering orang berdusta tentangnya. Diriwayatkan Ibn Abbas memotong dan memadamkan segala kepalsuan dan penipuan yang ditokok tambah dalam Qadha’ Ali sehingga tinggal seukuran lengan sahaja.
Terima kasih Tirmidhi Centre menganjurkan majlis hadis sebegini. Orang awam mahupun ahli ilmu sama sama mendapat manfaat daripadanya

