Kita biasa menyenaraikan rumah, tanah, kereta dan simpanan sebagai harta pusaka. Jarang sekali orang menulis “hak cipta buku saya” dalam senarai itu. Padahal hak cipta juga harta. Kerana itulah bidang ini dinamakan harta intelek (intellectual property).
Hak cipta boleh diwarisi
Seksyen 27(1) Akta Hak Cipta 1987 memperuntukkan bahawa hak cipta boleh dipindahkan sebagai harta alih melalui tiga cara:
- penyerahhakan (assignment), iaitu dijual atau diberikan semasa hayat;
- wasiat; dan
- kuat kuasa undang-undang, misalnya melalui undang-undang pusaka apabila pemilik meninggal dunia tanpa wasiat.
Maka apabila seorang penulis meninggal dunia, hak cipta karyanya tidak hilang begitu sahaja. Ia menjadi sebahagian daripada harta pusakanya dan beralih kepada waris atau penerima wasiat.
Bagi orang Islam, pembahagian harta pusaka tertakluk pada hukum faraid dan had wasiat. Perkara ini wajar dirujuk kepada pihak yang berkelayakan dalam urusan pusaka Islam.
Berapa lama hak cipta bertahan?
Untuk karya sastera, muzik dan seni, seksyen 17(1) Akta memperuntukkan bahawa hak cipta bertahan sepanjang hayat pengarang dan berterusan sehingga tamat tempoh 50 tahun selepas kematiannya.
Sebagai contoh, jika seorang penulis meninggal dunia pada tahun 2025, hak cipta karyanya bertahan hingga sekitar tahun 2075. Sepanjang tempoh itu, warisnya boleh memberi lesen, menerima royalti atau menghalang penggunaan tanpa izin.
Filem, rakaman bunyi dan siaran mengikut kaedah pengiraan yang berbeza, jadi semak jenis karya sebelum mengira tempohnya.
Selepas tempoh tamat: domain awam
Apabila tempoh itu tamat, karya tersebut masuk ke domain awam (public domain). Sesiapa sahaja boleh menggunakannya tanpa perlu mendapatkan lesen daripada waris. Kerana itulah karya klasik lama boleh diterbitkan semula oleh pelbagai penerbit.
Apa yang patut penulis buat sekarang
Jika anda penulis, senaraikan karya anda dan siapa pemegang hak ciptanya. Semak kontrak penerbitan, kerana ada kontrak yang memindahkan hak cipta kepada penerbit. Kemudian, nyatakan dalam wasiat atau dokumen perancangan harta anda siapa yang akan menguruskan karya itu.
Royalti buku mungkin kecil hari ini. Namun, karya yang terus dibaca boleh memberi manfaat kepada keluarga selama 50 tahun selepas kita tiada.
Mahu urus hak cipta karya anda? Hubungi saya.
