50 Kotak Buku dan Seni Melepaskan

  • Reading time:2 mins read

Awal tahun ini, kira-kira 50 kotak buku berjaya dipindahkan dari rumah keluarga ke rumah baru. Itu belum termasuk yang tiada dalam gambar.

Proses memindahkan buku dari rak ke kotak sahaja mengambil masa sebulan. Saya hanya boleh mengemas pada hujung minggu, jadi kerja itu berjalan sedikit demi sedikit. Kemudian, buku-buku itu disusun pula dari kotak ke rak di rumah baru, juga sedikit demi sedikit. Kredit besar kepada isteri yang banyak membantu mengemas.

Sambil menyusun, saya mula mengasingkan buku. Ada yang kekal di rak, ada yang akan dilepaskan.

Yang kekal

Sejak awal tahun, saya berkala mengkurasi buku-buku di librari peribadi. Yang kekal ialah kitab-kitab Arab, tafsir, al-Quran dan sirah. Semua ini akan sentiasa menjadi bidang minat saya.

Turut kekal ialah buku bukan fiksyen pelbagai genre, termasuk sejarah, falsafah dan pemikiran. Untuk fiksyen, kebanyakannya karya sastera seperti tulisan A. Samad Said, dan ada antaranya yang sudah langka. Saya juga penggemar autobiografi dan memoir tokoh dari serata dunia. Selain itu, buku tentang buku turut memenuhi rak.

Yang dilepaskan

Kebanyakan novel fiksyen Inggeris sudah dijual atau dihadiahkan.

Saya juga sudah meninggalkan banyak buku seperti feel-good Korean dan Japanese lit, buku pemasaran, dan fiksyen kontemporari yang saya rasa cukup dibaca sekali dan tak perlu disimpan.

Kenapa? Usia beranjak, maka selera membaca juga berubah. Buku yang dahulu sesuai mungkin tidak lagi menjadi keperluan hari ini.

Buku datang dan pergi

Ada buku yang memang tidak pernah saya baca pun. Namun, saya percaya buku yang dijual atau diserahkan kepada orang lain akhirnya akan menemui pembaca yang betul.

Daripada terperam di dalam kotak, lebih elok buku-buku itu berada di tangan pembaca dan pemilik baru. Ada sejarah, agama, sastera, falsafah dan pelbagai lagi.

Mungkin itulah seni menjaga librari peribadi. Bukan tentang berapa banyak buku yang kita simpan, tetapi tentang memilih buku yang benar-benar membentuk diri, dan melepaskan yang lain supaya ia membentuk orang lain pula.

Saya akan terus memuat naik jualan buku preloved di Threads. Kalau anda mencari bacaan baharu, nantikan.

Leave a Reply