Kedai Buku Tutup Sebab Melayu Tak Membaca? Ini Kata Data

  • Reading time:3 mins read

Baru-baru ini satu post Threads lalu di timeline saya. Penulisnya kata kedai buku tak patut harap ramai pelanggan Melayu. Hujahnya, orang Melayu 60% daripada rakyat Malaysia, tetapi hampir separuh rak kedai buku diisi buku untuk pembaca Cina. Kesimpulannya: kebanyakan orang Melayu tak membaca, jadi kedai buku patut layan bangsa yang sanggup beli buku.

Saya tak setuju. Oleh kerana isu bangsa sudah dibawa masuk, mari kita dengar pandangan orang yang paling dekat dengan industri ini, iaitu Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Thong Yuet Sheng. Beliau sendiri bukan orang Melayu.

1. Thong berkata punca utama kedai buku tutup ialah keputusan strategik bisnes. Sebagai contoh, cawangan yang kurang pengunjung akan ditutup. Pandemik Covid-19 juga antara faktor yang menyumbang.

2. Kedai tutup tidak bermaksud orang berhenti membaca. Menurut Thong, pembaca bahan cetak di Malaysia kuat dan semakin bertambah.

3. Buktinya ada pada pesta buku. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menarik 1.3 juta pengunjung pada 2022, kemudian naik kepada 1.6 juta pada 2023. Tahun ini, PBAKL 2026 mencipta rekod baharu dengan lebih 2.4 juta pengunjung.

4. Thong juga berkata kedai buku bahasa Melayu sudah bangkit semula, malah kini lebih kukuh berbanding kedai buku bahasa Inggeris.

5. Antara 2018 dan 2023, kira-kira 95 kedai buku dan cawangan rangkaian kedai buku ditutup. Namun, dalam tempoh yang sama, 70 dibuka. Industri ini sedang berubah, bukan mati.

6. Ada kedai yang tutup kerana tidak sempat menyesuaikan diri atau tidak mampu bersaing dengan model kos rendah seperti Big Bad Wolf, yang berkembang pesat.

7. Persatuan Penerbit Buku Malaysia pula berkata promosi buku dalam talian lebih menarik bagi pembeli berbanding membeli di kedai fizikal. Hari ini, Shopee dan TikTok menghantar buku sampai ke depan pintu, dan penjualnya tidak perlu membayar sewa pusat beli-belah.

8. Siapa yang memenuhi PBAKL? Pada 2022, seorang kolumnis DagangNews, Mohd Fudzail Mohd Nor, menulis bahawa hampir semua pengunjung yang singgah di reruainya sepanjang 10 hari ialah orang Melayu Islam. Beliau sampai mencadangkan nama pesta itu ditukar kepada “Pesta Buku Melayu Islam Malaysia”.

Orang Melayu yang dikatakan tak membaca itulah yang memenuhi WTC setiap tahun.

Masalahnya model bisnes kedai fizikal. Bukan sebab Melayu tak membaca.

Data kononnya orang Melayu tak membaca tu, buktikan dulu dari mana datangnya. Kalau tak, itu cuma omong kosong daripada orang yang jati dirinya lemah.

Sumber

  1. The Sun, “Closure of bookstores due to inability to compete, adapt”, 30 Januari 2024: https://thesun.my/news/malaysia-news/closure-of-bookstores-due-to-inability-to-compete-adapt-ih12046349/
  2. DagangNews, Mohd Fudzail Mohd Nor, “PBAKL tukar jadi Pesta Buku Melayu Islam Malaysia?”, 16 Jun 2022: https://www.dagangnews.com/article/pbakl-tukar-jadi-pesta-buku-melayu-islam-malaysia-16351
  3. Berita RTM, “PBAKL 2026 cipta rekod baharu, lebih 2.4 juta pengunjung hadir”: https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/pbakl-2026-cipta-rekod-baharu-lebih-2-4-juta-pengunjung-hadir/

Leave a Reply