Setiap buku yang ada di tangan kita sampai ke situ atas sebab tertentu.
Mungkin kulitnya cantik. Mungkin ia sedang dibincangkan semua orang di Threads. Mungkin ada kawan yang kata, “Kau kena baca ni.” Atau mungkin kita sendiri pun tak pasti. Tangan capai, kaki bawa ke kaunter, dan buku itu pulang bersama kita.
Tak ada yang salah dengan semua itu. Cuma, saya selalu tertanya: berapa ramai antara kita yang pernah berhenti sejenak dan bertanya, kenapa aku baca buku ini?
Soalan yang paling mudah, dan paling jarang ditanya
Soalan itu nampak remeh. Terlalu remeh, sampai kita rasa tak perlu fikir. Namun, majoriti pembaca tak pernah benar-benar mempersoalkan tujuan mereka membaca sesebuah buku.
Padahal soalan itulah pintunya. Bila kita jelas kenapa kita membaca, soalan lain mula mengetuk dari belakang. Apa yang penulis cuba katakan? Bahagian mana yang paling penting untuk aku? Aku setuju, atau ada yang mengganggu fikiran? Tanpa soalan pertama, soalan cabang ini tak pernah sempat lahir.
Maka sebelum bertanya buku apa yang patut dibaca, mungkin kita perlu bertanya dahulu: kenapa aku membaca?
Sedar sedang membaca, dan sedar bagaimana membaca
Ada satu perbezaan halus yang saya fikir ramai terlepas pandang. Kesedaran bahawa kita sedang membaca tidak sama dengan kesedaran tentang bagaimana kita membaca.
Semua orang yang memegang buku tahu mereka sedang membaca. Tapi berapa ramai yang perasan cara mereka membaca? Adakah kita membaca untuk faham, atau sekadar untuk habis? Adakah kita betul-betul faham, atau cuma rasa faham?
Bolehkah kesedaran ini dimiliki? Jawapannya boleh. Namun, ia tidak datang dengan sendirinya. Ia hadir pada pembaca yang melatih diri untuk membaca dengan sedar dan jelas tujuan.
Pendahuluan yang selalu kita langkau
Kerana itulah saya percaya bahagian pendahuluan buku sangat penting. Ramai yang melangkaunya kerana rasa ia sekadar basa-basi sebelum cerita sebenar bermula.
Hakikatnya, di situlah penulis selalunya membentangkan idea besar dan kerangka yang dia gunakan untuk membantu pembaca faham keseluruhan buku. Pendahuluan ialah peta. Tanpa peta, kita masih boleh berjalan, tetapi kita tidak tahu ke mana arah tujuan.
Kesannya, kita baca dan kita lupa. Ilmu itu tidak diproses dengan baik, lalu bersepah-sepah di ruang fikiran tanpa tempat untuk disusun. Akhirnya, ia tidak melekat di fikiran, apatah lagi di hati.
Membaca supaya buku itu tinggal
Mungkin inilah yang membezakan membaca dengan sekadar menyelak muka surat. Membaca bukan hanya tentang berapa banyak buku yang kita habiskan. Ia tentang berapa banyak buku yang terus tinggal dalam diri kita lama selepas kulitnya ditutup.
Jadi, sebelum buku seterusnya dibuka, tanyalah soalan yang paling mudah itu sekali lagi.
Kenapa aku baca buku ini?
