Pernah tak anda menulis buku bersama kawan, tapi bila buku itu terbit, nama anda tiada sebagai penulis? Artikel ini menerangkan hak penulis bersama di bawah undang-undang Malaysia.
Bayangkan situasi ini. Anda dan rakan berbincang idea sampai lewat malam. Anda tulis separuh bab. Anda sunting draf dia, dan dia sunting draf anda. Setahun kemudian, buku itu terbit. Anda buka bungkusan, tengok kulit buku, dan nama anda tiada.
Soalannya, adakah undang-undang melindungi hak penulis bersama? Jawapannya ya. Akta Hak Cipta 1987 (baca Akta di sini) memberi anda hak untuk dinamakan sebagai penulis, khususnya melalui seksyen 25. Mari kita lihat satu per satu.
Adakah Anda Layak Menuntut Hak Penulis Bersama?
Ini soalan pertama yang perlu dijawab. Bukan semua orang yang “terlibat” dengan sesebuah buku dikira sebagai penulis.
Sesebuah buku dianggap ditulis bersama apabila dua orang atau lebih bekerjasama menghasilkannya, dan sumbangan masing-masing bercampur sehingga tidak boleh diasingkan (seksyen 3 Akta).
Dalam bahasa mudah, anda perlu menunjukkan tiga perkara:
a) anda dan rakan memang bekerjasama untuk menghasilkan buku itu;
b) anda turut menulis atau membentuk isi buku itu, bukan sekadar memberi idea; dan
c) tulisan anda dan tulisan rakan bercampur sehingga sukar dipisahkan.
Perkara (b) selalu menjadi isu. Undang-undang hak cipta tidak melindungi idea semata-mata. Jadi, kalau anda hanya berkata “Eh, apa kata kita tulis buku pasal ini?” tetapi tidak menulis apa-apa, anda mungkin tidak layak menuntut hak penulis bersama.
Perkara (c) pula membezakan buku tulisan bersama daripada antologi. Kalau setiap orang tulis bab sendiri dan kita boleh tahu siapa tulis bab mana, anda ialah penulis bagi bab anda sendiri. Anda tetap berhak dinamakan, cuma untuk bab yang anda tulis.
Bagaimana Hendak Buktikan Kita Juga Penulis Bersama?
Kalau nama anda tiada di kulit buku, andalah yang perlu membuktikan anda turut menulisnya. Mahkamah tidak akan terima “percayalah, saya yang tulis bab tiga” tanpa sebarang bukti.
Sebelum menuntut hak penulis bersama, kumpulkan bukti seperti:
a) draf bertarikh yang menunjukkan bahagian yang anda tulis;
b) sejarah suntingan dalam Microsoft Word,Google Docs atau platform seumpamanya;
c) e-mel dan mesej WhatsApp tentang pembahagian kerja; dan
d) surat-menyurat dengan penerbit yang menyebut anda sebagai penulis (jika ada).
Tip mudah: jangan padam draf lama dan jangan keluar daripada kumpulan WhatsApp projek buku anda.
Tentang Seksyen 25 Akta Hak Cipta 1987: Hak Moral Penulis Bersama untuk Dinamakan
Seksyen 25 Akta memberi setiap penulis hak moral untuk dinamakan sebagai penulis karyanya. Tiada sesiapa boleh menerbitkan karya anda tanpa nama anda, atau meletakkan nama orang lain sebagai penulisnya, kecuali anda bersetuju. Hak ini dikenali sebagai “hak moral”.
Ada tiga perkara menarik tentang hak moral ini:
a) Anda tetap berhak dinamakan walaupun anda sudah menjual atau menyerahkan hak cipta karya anda kepada orang lain;
b) Kalau hak moral ini dilanggar, anda boleh menyaman pihak yang melanggarnya;
c) Mahkamah boleh mengarahkan pihak itu supaya menerbitkan pembetulan dengan meletakkan nama anda selayaknya
Hak ini boleh dikuatkuasakan terhadap sesiapa yang menerbitkan karya anda tanpa nama anda, atau yang membenarkannya berlaku. Jadi, anda boleh menuntut daripada rakan penulis yang menerbitkan buku atas namanya sahaja. Anda juga boleh menuntut daripada penerbit yang mencetak dan menjual buku itu.
Cara Melindungi Hak Penulis Bersama Sejak Awal
Sebelum mula menulis, duduk semeja dengan rakan anda dan tandatangani perjanjian ringkas. Perjanjian itu patut menyatakan:
a) siapa penulis buku itu dan bagaimana nama mereka akan dicetak;
b) bagaimana royalti akan dibahagikan; dan
c) apa yang berlaku jika salah seorang menarik diri sebelum manuskrip siap.
Ya, rasa janggal untuk berbincang hal ini dengan kawan baik sekarang. Namun, perbincangan janggal hari ini lebih baik daripada bertikam lidah di mahkamah di hari kemudian.
Sebelum buku dicetak, semak kontrak penerbit dan contoh kulit buku. Kesilapan pada peringkat ini lebih mudah dibetulkan berbanding selepas buku sampai ke kedai.
Nak tahu lebih lanjut apa beza hak cipta (copyright) dengan hak moral (moral right)? Boleh baca di sini
