Jangan Pandang Rendah Buku Yang Membuat Kita Jatuh Cinta Pada Membaca

  • Reading time:2 mins read

Sampai satu masa, kita akan outgrow atau meninggalkan buku-buku yang pernah kita baca. Kita menjadi semakin dewasa, semakin matang dan semakin berilmu, lalu semakin memilih bacaan yang sesuai dengan tahap diri kita sekarang. Itu perkara biasa. Malah, itulah tanda kita sedang membesar sebagai pembaca.

Namun, ada satu perangkap kecil yang mudah kita masuk tanpa sedar. Bila sudah naik ke tahap tinggi itu, kita mula memandang rendah buku yang kita anggap “tidak cukup ilmiah”. Novel cinta, buku motivasi ringan atau buku agama yang ditulis dengan bahasa santai tiba-tiba kelihatan remeh.

Persoalannya, siapa yang membawa kita sampai ke tahap ini? Buku-buku itulah yang pernah membuat kita jatuh cinta dengan membaca. Tanpa buku pertama yang mudah, kita mungkin tidak pernah sampai ke buku yang sukar.

Di luar sana, ramai orang sedang berada di tempat kita dahulu. Mereka baru bermula, baru belajar menghabiskan sebuah buku dari kulit ke kulit. Bagi mereka, buku yang kita anggap ringan itu mungkin pintu pertama ke dunia ilmu.

Orang yang meremehkan buku yang pernah berjasa kepada dirinya, atau kepada orang lain, bukanlah intelektual seperti yang disangkanya. Dia hanya manusia yang sombong dengan sedikit ilmu, dan merasa bacaannya lebih kritis berbanding pembaca lain yang baru bermula.

Ibarat kacang lupakan kulit.

Maka, bila ada orang bertanya buku apa yang sesuai untuk pemula, atau dia baru sahaja hendak jadi pembaca, jawablah dengan rendah hati. Kita juga pernah seperti itu dahulu.

Leave a Reply